MAJLIS BACAAN YAASIN, SOLAT HAJAT DAN TIGA PENJURU BERJALAN LANCAR

image001

image002

image003

image004

Maahad Ahmadi, 21 September 2017 - Warga Maahad Ahmadi sekali lagi berjaya menganjurkan Majlis Bacaan Yaasin, Solat Hajat dan Perjumpaan Tiga Penjuru.

Majlis pada Khamis tersebut bermula dengan Perjumpaan Tiga Penjuru melibatkan ibu bapa, penjaga dan calon-calon PT3, SPM dan STAM. Lebih kurang 200 ibu bapa dan penjaga hadir bagi memberi sokongan kepada anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan bermula awal Oktober nanti.

"Saya gembira dengan kehadiran emak ayah saya untuk melihat prestasi dalam percubaan." Kata seorang pelajar PT3 yang ditemui selepas perjumpaan tersebut di Dataran Dewan Selera Aspuri, Maahad Ahmadi.

Majlis kemudian bersambung dengan bacaan doa akhir tahun diikuti solat Maghrib secara berjemaah. Selepas maghrib, disambung pula dengan doa awal tahun yang kebetulan bersamaan dengan Awal Muharam.

Ustaz Mohd Fauzi, mengetuai Solat Hajat manakala Ustaz Mohamed, memimpin bacaan Yaasin dan bacaan doa. Sejurus selesai bacaan doa, solat Isyak dan diakhiri dengan ucapan pengetua.

"Mohon maaf jika kurang selesa kerana pembangunan kawasan sekitar Maahad yang sedang berjalan. Antaranya penambahbaikan dewan dan InsyaAllah akan dapat digunakan untuk PT3 kelak," kata Ustaz Abdul Rahim Maamor, dalam ucapan penutup program. Beliau menambah lagi, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk pembangunan bagi keselesaan semua pihak.

"80 peratus jalan sekitar kawasan Maahad akan diturap baru dan sebuah pondok pengawal dan kawasan letak kereta berhampiran pondok bagi memudahkan urusan keluar masuk," katanya.

"Jumlah dermasiswa yang disalurkan oleh pihak MAINS kepada pelajar bernilai RM218,000 setiap tahun dan akan bertambah mengikut keperluan. Justeru, memohon kerjasama yang baik dan positif dari pihak ibu bapa untuk membantu pihak Maahad,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berharap pelajar SPM yang mendapat keputusan yang baik dalam percubaan, menyambung sehingga ke peringkat STAM. Majlis pada malam tersebut berakhir dengan jamuan makan malam.

 

Disediakan Oleh:

Maahad Ahmadi Gemencheh