PROGRAM PEMANTAPAN PEGAWAI RUNDING CARA JHEAINS:

KURSUS ASAS RUQYAH

 

 

 

 

 

Seremban, 23 November 2017 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan melalui Bahagian Undang-undang Keluarga Islam telah mengadakan Program Pemantapan Pegawai Runding Cara:  Kursus Asas Ruqyah di Dewan Kuliah, Masjid Dato' Klana Petra Hj Yusof, Sikamat  pada 21 hingga 22 November 2017. 

Program selama dua hari ini disertai daripada kalangan perunding cara  JHEAINS di ibu pejabat dan PAID serta Imam Eksekutif masjid lantikan MAINS. Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh Dr Mohamad Husaini bin Razali, merupakan pengamal perubatan Islam daripada Pusat Ruqyah Hijrah.Turut hadir bersama adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga, Ustazah Razidah bt Adam dan Pegawai Agama Pejabat Daerah Tampin Ustaz Mahyudin bin Saari.

Cetusan pelaksanaan program ini adalah kesinambungan daripada salah satu resolusi Konvensyen Keluarga Islam: Elemen Sihir Dalam Konflik Rumahtangga pada 20 September 2017 Anjuran Bahagian Undang-undang Keluarga Islam yang telah menggariskan keperluan meningkatkan kompentensi perundingcara dan pegawai yang menguruskan hal ehwal nikah cerai dan rujuk dengan kemahiran mengenal pasti elemen sihir dan gangguan jin dalam kes-kes klien. Program ini juga sejajar strategi yang perlu dilaksanakan di dalam Pelan Strategik JHEAINS 2017-2021 iaitu peningkatan kompentensi pegawai runding cara di Negeri Sembilan dalam penyampaian maklumat yang berkesan kepada pihak yang memerlukan.

Objektif program ialah :

  • Meningkatkan kompentensi dan kemahiran kepada pegawai runding cara serta pegawai agama dalam mengenal pasti elemen sihir dalam kes-kes kekeluargaan.
  • Memberikan kefahaman berkaitan asas ruqyah dan konsep perubatan Islam
  • Menjelaskan teori dan praktikal dalam melakukan ruqyah syariyyah yang berkesan.

Program ini turut menjelaskan berkaitan peri pentingnya aspek  pegangan akidah, penekanan kepada ibadah yang konsisten serta kedudukan Ihsan yang perlu ada di dalam diri setiap perawat. Di samping itu  ianya merupakan satu keperluan dan proses islah kepada masyarakat Islam. Para peserta turut melaksanakan latihan amali dan menyaksikan proses perubatan yang sebenar daripada pesakit yang memerlukan perkhidmatan. 

 

Disediakan Oleh:

Bahagian Undang-undang Keluarga Islam