JELEBU, 11 Julai – AURA KAFA Negeri Sembilan 2026 telah berlangsung dengan jayanya di SK Simpang Durian dan SMK Teriang Hilir, menghimpunkan kontinjen daripada Seremban A, Seremban B, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol. Setiap kontinjen diwakili 42 orang terdiri daripada 12 guru dan 30 peserta yang bertanding dalam enam acara iaitu Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Bercerita Kisah al-Quran, Khat, Penulisan Jawi dan Nasyid sebagai medan mencungkil bakat murid-murid KAFA seluruh Negeri Sembilan.
Penganjuran AURA KAFA ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Agenda Transformasi Anak Juara (TRAJU) 2026–2028 yang memfokuskan pembentukan Anak JUARA melalui pencarian bakat. Selaras dengan aspirasi AURA (Aspirasi Anak JUARA), program ini menjadi platform strategik Bahagian Pendidikan JHEAINS untuk mengenal pasti bakat terbaik yang akan mewakili Negeri Sembilan ke Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Rendah Agama (MIISRA) Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah JHEAINS, YBhg. Dato' Mohd Asri bin Abdullah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Agenda TRAJU merupakan komitmen JHEAINS dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan Islam secara holistik bagi melahirkan generasi Anak JUARA yang menghayati nilai Jujur, Usaha, Amanah, Rajin dan Adab.
JHEAINS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atas sokongan berterusan dalam memperkukuh agenda pembangunan pendidikan Islam negeri, serta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) atas kerjasama erat dalam penyediaan kemudahan dan sokongan penganjuran yang telah menyumbang kepada kelancaran serta kejayaan AURA KAFA Negeri Sembilan 2026.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta, guru pembimbing, urus setia dan seluruh pihak yang telah menjayakan AURA KAFA Negeri Sembilan 2026.
