𝐏𝐨𝐫𝐭 𝐃𝐢𝐜𝐤𝐬𝐨𝐧, 23 Julai 2026 - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui Bahagian Pengurusan Halal dengan kerjasama strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah menganjurkan Program Advokasi Halal 1/2026 yang menghimpunkan seramai 24 orang peserta dari kalangan usahawan mikro di Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan Inisiatif Halal Kotej untuk membantu Usahawan mikro memperoleh pensijilan halal agar rantaian makanan halal terus berkembang di negeri ini.
Program selama tiga (3) hari yang berlangsung di Avillion Admiral Cove, Port Dickson ini merupakan platform bimbingan kepada usahawan sebagai persediaan ke arah memperoleh Pensijilan Halal Malaysia.
Majlis diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Puan Zalina binti Long, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berkaitan pensijilan halal merangkumi kesedaran halal (halal awareness), keperluan pelabelan dan pembungkusan makanan, penambahbaikan premis dan proses pengeluaran menggunakan peruntukan geran, serta latihan pengisian permohonan melalui Sistem MYeHALAL.
Kolaborasi strategik antara JHEAINS dan YAPEIM ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa usahawan mikro Negeri Sembilan agar lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menembusi pasaran yang lebih luas melalui pemilikan Pensijilan Halal Malaysia.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih ramai usahawan halal yang berkualiti dan mampu mengangkat produk halal Negeri Sembilan ke tahap yang lebih tinggi.
