𝗦𝗘𝗥𝗘𝗠𝗕𝗔𝗡, 25 Ogos 2026 – Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus 1448H/2026 bermula seawal pagi dalam suasana ceria apabila ribuan peserta dan sebanyak 76 kontinjen serta tetamu kehormat hadir bagi menyemarakkan sambutan penuh kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Disebabkan cuaca tidak mengizinkan majlis tidak diteruskan di padang akan tetapi dipindahkan ke Hotel Royal Chulan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan turut diserikan dengan ucapan oleh YAB Dato' Haji Ismail bin Haji Lasim, Menteri Besar Negeri Sembilan. Para hadirin juga berpeluang mengikuti tausiyah yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Yusry bin Mazlan, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, selain dipersembahkan dengan persembahan qasidah yang menambahkan lagi kemeriahan serta suasana kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Sementara itu, semua kontinjen yang pada asalnya dijadualkan menyertai perarakan telah berkumpul di Dewan Majlis Bandaraya Seremban bagi meneruskan pengisian sambutan dengan berselawat secara beramai-ramai sebagai tanda kecintaan kepada baginda Rasulullah SAW.
JHEAINS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua kontinjen dan urus setia di semua peringkat termasuk setiap jabatan serta agensi atas komitmen, semangat dan kerjasama yang telah ditunjukkan bermula daripada persiapan majlis ini lagi. Semoga segala usaha dan niat baik kita dalam memuliakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW diterima sebagai amal soleh dan dikurniakan ganjaran serta keberkatan oleh Allah SWT.
