Gemencheh, 6 Mei 2026 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berbesar hati menerima lawatan kerja rasmi dan kunjung hormat daripada delegasi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ke Maahad Al-Murtadza Negeri Sembilan (MAAMUR) pada hari ini. Ketibaan delegasi JAWHAR yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli bersama Timbalan Ketua Pengarah, YBrs. Encik Hairolanuar bin Mohamad serta para pegawai kanan, telah disambut mesra oleh barisan kepimpinan JHEAINS. Pengarah JHEAINS, YBhg. Dato’ Mohd Asri bin Abdullah mengetuai sambutan delegasi JAWHAR bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Pendidikan JHEAINS, Ustaz Amiza Khusyri bin Yusof dan Pengetua MAAMUR, Ustaz Amir Intizam bin Othman, diiringi oleh pegawai-pegawai kanan JHEAINS serta seluruh warga kerja MAAMUR.
Dalam pertemuan bermakna ini, Pengarah JHEAINS mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato' Mohd Zaidi bin Ramli atas keluhuran jasa dan bakti beliau kepada JHEAINS. Komitmen jitu beliau sebagai mantan Pengarah JHEAINS telah menjadi pemangkin kepada inisiatif menaik taraf bangunan baharu Kompleks Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), yang kini gah beroperasi dan dinamakan sebagai Maahad Al-Murtadza Negeri Sembilan, di samping komitmen padu daripada Kerajaan Negeri Sembilan khususnya YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.
Sebagai manifestasi komitmen berterusan terhadap kelestarian pendidikan Islam, Ketua Pengarah JAWHAR turut menzahirkan minat dan kesediaan agensi tersebut untuk terus membantu pihak sekolah dan JHEAINS. Kolaborasi strategik ini digariskan sebagai elemen penting dalam usaha membangunkan kemenjadian pelajar secara holistik di MAAMUR. Inisiatif bersepadu ini diharap dapat memacu kebitaraan institusi, sekali gus mendokong visi utama MAAMUR untuk terus unggul melahirkan pelapis ulama dan barisan kepimpinan Islam masa hadapan bagi Negeri Sembilan.
