SEREMBAN, 4 Februari 2026 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menganjurkan Perhimpunan Bulanan JHEAINS Siri 1/2026 yang dihadiri oleh seluruh warga kerja jabatan.
Perhimpunan ini telah disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Mohd Asri bin Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Dalam amanatnya, YBhg. Dato’ telah menyuntik semangat kepada warga jabatan agar terus meningkatkan kualiti kerja, di samping menyampaikan arahan-arahan semasa daripada pihak berkepentingan. Beliau turut menekankan kepentingan pengukuhan semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga JHEAINS.
Pada perhimpunan ini juga, YBhg. Dato’ telah merasmikan dan melancarkan Pelan Operasi Latihan JHEAINS serta Chatbot JHEAINS (Bang Chik) yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti penyampaian perkhidmatan JHEAINS kepada pelanggan.
Semoga perhimpunan ini terus memperkukuh komitmen dan integriti warga JHEAINS dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada agama, masyarakat dan negeri, demi memastikan JHEAINS terus “Gemilang Untuk Ummah.”
